Saturday, March 13, 2010

MALU biar bertempat

Oleh: SOFIAN RESALI

Malu adalah sifat indah yang dianugerahkan Allah kepada hambaNya. Lahirnya sifat malu adalah seiring dengan iman setiap mukmin. Ia tidak dapat dipisahkan. Hingga ada tokoh ilmuan Islam menggariskan, apabila malu sudah tiada, ia menandakan iman seseorang semakin berkurang.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman itu ada lebih 60 cabang, dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman."
Sifat malu itu turut digambarkan sebagai pokok kepada akhlak seseorang. Malu mampu menghalang seseorang daripada berbuat sesuka hati. Kadang kala malu juga menjadi benteng agar setiap mukmin berhati-hati dalam setiap tindakannya.
Namun perkembangan dan suasana masyarakat ketika ini menyaksikan manusia telah hilang perasaan malu. Ramai yang tidak malu terhadap orang lain, apatah lagi kepada Allah Yang Maha Melihat. Anak sudah tidak malu menderhaka ibu bapa. Pelajar juga kurang malu bersikap biadap dengan gurunya.
Situasi dalam masyarakat sekarang agak merimaskan. maksiat dilakukan terang-terangan. Di manakah nilai malu dalam kehidupan ketika ini? Islam menggariskan malu sebagai sifat yang perlu ada dalam diri setiap Muslim. ia turut menggambarkan nilai keimanan seseorang kepada Allah, rasul dan Hari Kiamat.
Mereka yang memiliki sifat ini akan malu untuk berbuat dosa sama ada secara terang ataupun sembunyi. Keimanan mereka tinggi bahawa akan ada pembalasan di hari perhitungan kelak. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya" (Riwayat Bukhari)
Jadi bagaimana dengan kita? Masih tidak malu mngabaikan amanah? Atau barangkali kita masih tebal dengan sifat tidak kisah melakukan rasuah dan pecah amanah? Juga mungkinkah kita tergolong dalam kalangan orang yang tidak tahu malu melakukan maksiat sedangkan sudah pasti sentiasa dilihat Allah?
Hisablah diri kita. Dalam golongan mana kita berada. Adakah kita masih malu melakukan ketaatan dan tidak malu melakukan kejahatan? Atau kita sudah memiliki rasa malu terhadap Allah dan Rasulullah SAW sehingga sentiasa teguh mengikut perintah dan ajaran Islam? Mohonlah kekuatan agar diri memiliki keberanian untuk tidak malu mengakui kebenaran.

No comments:

Post a Comment